Saturday, January 1, 2011

Mengapa perlu Menyusu?


Sumber: Norlaila Hamima Jamaluddin (2010). Pelindung ibu dan bayi. MyMetro. 1 Ogos.


“TERLALU sikit, puas cuba beri anak susu badan tetapi dia macam tak puas, asyik menangis saja. Akhirnya saya dan suami mengalah, berikan Aina susu formula. Lebih senang, terutama bagi saya yang kerap bertugas di luar daerah. Kalau dipaksa beri, payudara saya yang terasa sakit.


“Kawan cerita, mereka tidak cukup tidur malam kerana terlalu kerap bangun menyusukan anak,” kata seorang wanita ketika menunggu giliran untuk pemeriksaan bulanan kehamilan.
Terpaksa bangun malam menyusukan anak? Letih dan mengantuk pada siang hari? Ia bukan masalah, sebaliknya itulah keistimewaan menjadi ibu, kata Sheemi Mayanti Abdul Jalil, 29, yang menyusukan anak sulungnya secara eksklusif selama enam bulan.
Kini dia masih meninggalkan bekalan susu badan (yang dipam setiap hari) walaupun anaknya berumur 17 bulan. Tiada susu formula untuk si kecil kerana Sheemi percaya susu ibu jauh lebih baik daripada susu formula paling mahal di pasaran.
Jika hendak bercerita kebaikan, semua wanita terutama yang bergelar ibu, sudah tahu. Malah maklumat mengenai manfaat dan kebaikan susu ibu berlambak di Internet dan saban tahun dipaparkan di semua media setiap kali menjelang Minggu Penyusuan Badan bermula hari ini hingga Sabtu depan (7 Ogos). Manfaat memberi susu badan akan dinikmati ibu dan anak.
Bagi anak, dia mendapat semua khasiat diperlukan sesuai dengan umurnya. Susu ibu adalah makanan lengkap untuk bayi dan tiada susu formula yang mampu menyaingi kehebatan susu ini kerana ia mengandungi antibodi untuk melindungi bayi daripada jangkitan penyakit.
Ia juga membantu perkembangan otak dan sistem saraf bayi. Bayi yang diberi susu badan juga menunjukkan perkembangan psikomotor (hubungan antara otot dan otak) dan emosi lebih baik.
Bayi yang diberi susu badan kurang mengalami masalah alahan berbanding bayi yang membesar dengan susu formula. Penyusuan badan juga sebenarnya merangsang pembentukan rahang bayi dan mengurangkan masalah gigi berlubang.
Tahukah anda, susu formula mengandungi gula walaupun rasanya tidak manis, dan ini sebabnya kebanyakan kanak-kanak yang diberi susu formula, terutama sejurus sebelum tidur, mempunyai masalah gigi reput dan berlubang.
Itu sebahagian daripada manfaat untuk bayi. Pada ibu, penyusuan badan mempercepatkan penyembuhan luka dan pengecutan rahim supaya kembali ke saiz asal serta menghentikan pendarahan selepas bersalin, kata Penasihat Penyusuan Badan Hospital Assunta, Sister Vara Letchime.
“Ia membentuk ikatan perasaan antara ibu dan anak, mengurangkan risiko berlakunya kemurungan selepas bersalin atau meroyan. Memang kebanyakan wanita berasa sedih selama beberapa hari selepas bersalin. Ia perkara biasa, tetapi kesedihan ini hilang perlahan-lahan apabila ibu menyusukan bayi mereka.
“Memberi susu badan sebenarnya memberi lebih kebebasan untuk anda pergi berjalan dan tidak perlu bimbang kehabisan stok kerana ia ada di badan anda.
“Selagi anda mengamalkan pemakanan seimbang dan sihat, anda menghasilkan susu yang baik untuk anak. Uniknya komponen susu badan ini berubah-ubah mengikut pertambahan usia anak,” katanya.
Penyusuan badan juga memberi perlindungan tambahan kepada ibu kerana ia mengurangkan risiko mendapat kanser payudara dan ovari — dua jenis kanser wanita paling ditakuti.
Kanser payudara memberi banyak kesan kepada penampilan dan psikologi seseorang wanita manakala kanser ovari dikelaskan sebagai kanser paling teruk kerana ia sukar dikesan.
Satu perkara penting yang perlu anda ketahui ialah penyusuan badan adalah cara terbaik untuk menurunkan berat berlebihan yang anda ‘kumpul’ sepanjang tempoh kehamilan.
Kajian mendapati setiap kali anda menyusukan bayi, kira-kira 500 kalori hilang tanpa perlu bersusah payah bersenam. Pada keadaan biasa kita perlu berlari atau naik tangga selama 64 minit; joging atau berbasikal (72 minit); senaman aerobik (90 minit) atau dua jam berbasikal untuk membakar kalori sebanyak itu.

Susu terlalu sikit?
Menurut Vara, isu ketiadaan susu atau susu badan terlalu sedikit hanya mainan psikologi. Setiap wanita yang melahirkan anak dianugerahkan Tuhan dengan makanan untuk bayi (susu).
Pengeluaran susu badan berlandaskan konsep ada permintaan, baru ada penghasilan. Maknanya jika bayi tidak diberi susu badan, penghasilan susu berkurangan dan berhenti selepas satu tempoh tertentu.
“Ramai wanita anggap kemahiran menyusukan bayi datang secara semula jadi selepas melahirkan anak. Kemahiran ini perlu dipelajari; baru anda dapat menyusukan bayi dengan baik dan ia secara tidak langsung menggalakkan penghasilan susu badan,” katanya.
Apa perlu dilakukan? Teruskan penyusuan walaupun anda berasakan susu yang keluar sangat sedikit. Bayi anda bijak, dia akan hisap susu dan berhenti apabila terasa kenyang; tidak akan tahu berapa banyak susu masuk ke dalam perutnya. Kuantiti yang anda rasakan ‘sedikit’ itu mungkin cukup untuknya untuk sekali susuan.
Pada awalnya susu yang keluar memang sedikit. Teruskan memberi rangsangan (menyusu bayi dengan betul); pengeluaran susu akan lebih tetap selepas tiga hari melahirkan anak.
Beberapa faktor boleh mempengaruhi pengeluaran susu seperti kurang rangsangan, cemas dan bimbang, merokok, minum minuman beralkohol, kurang keyakinan serta tidak mendapat sokongan, khususnya daripada suami dan ahli keluarga, untuk menyusukan bayi.

“Wanita yang menyusukan anak memerlukan lebih kalori (300 hingga 500 kalori) berbanding wanita lain. Cara mendapatkannya ialah makan kerap iaitu lima hingga enam kali sehari dan lebihkan pengambilan protein.
“Larangan makan ayam kerana takut gatal, terutama bagi wanita yang bersalin melalui pembedahan, sebenarnya tidak praktikal kerana ayam mengandungi protein yang sangat diperlukan untuk penyembuhan luka. Kalau tidak mahu makan ayam, kena ganti dengan sumber protein lain.
“Susu yang dirumus untuk ibu juga baik bagi membantu wanita mendapat kalori harian secukupnya kerana ia biasanya mengandungi vitamin D, asid folik dan mineral. Ramai bertanya mengenai makanan yang perlu dielak ketika menyusukan bayi.
“Tiada kaedah khusus untuk menentukannya, ia diketahui melalui kaedah cuba – kalau nampak bayi tidak selesa, periksa balik apa makanan yang anda ambil,” kata Perunding Pemakanan, Siti Wahida Mhd Halil.
Bagaimanapun, Siti Wahida mengingatkan wanita supaya tidak mengambil ubat atau persediaan herba sebelum atau selepas bersalin kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak pendarahan ketika bersalin secara normal atau pembedahan. Pengambilan persediaan herba ini dibenarkan enam minggu selepas bersalin.

0 ulasan:

Post a Comment

Share & Enjoy

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More